11 Januari 2016 : Muallim Daerah Kesebelas Negeri Perak



Sumber: Portal Rasmi Kerjaan Negeri Perak.

Muallim Daerah Kesebelas Negeri Perak
YAB Menteri Besar Perak Menyampaikan Ucapan.

TANJUNG MALIM, 11 JANUARI 2016 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan mengisytiharkan Daerah Muallim sebagai daerah pentadbiran baharu yang ke-11 di Negeri Perak.

Pengisytiharan itu disempurnakan baginda di Dewan Sri Tanjong, Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM).

“Perkataan mualim berasal daripada perkataan Arab, perkataan yang berkaitan dengan ilmu dan ilmuwan, bermaksud orang yang ahli dalam agama. Nama tersebut amat bertepatan diabadikan kepada daerah ini berdasarkan latar belakang tertentu sejarah.

Di daerah inilah, Sultan Idris Training College atau SITC telah dirasmikan pembukaannya oleh Sir George Maxwell pada 29 November 1922. SITC ialah pusat ilmu, pusat pengajian tertinggi tempatan untuk anak Melayu pada era pra merdeka, dibangunkan untuk memberi latihan perguruan kepada anak-anak Melayu yang berlatar belakang persekolahan dalam bahasa Melayu.

Dari pusat ini telah lahir barisan inteligensia Melayu, yang berperanan penting meniupkan kebangkitan kesedaran bangsa, menghidupkan semangat nasionalisme bangsa serta menyalakan api perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air.” titah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurut baginda lagi, unsur ilmu dan agama hendaklah dijadikan identiti bagi daerah baharu ini dan baginda berharap daerah Muallim memberikan fokus untuk dibangunkan sebagai wilayah ilmu dan kota pelajar.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga berharap agar perancangan pembangunan daerah Muallim berupaya memenuhi keperluan penduduk pelbagai bangsa seperti kemudahan pendidikan, kesihatan, perhubungan dan perumahan.

Turut berangkat ke majlis pengistiharan tersebut, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan; YB. Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Rohana Binti Abd Malek; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Mohd. Ghazali Bin Jalal dan barisan EXCO Kerajaan Negeri.

Daerah Muallim berkeluasan 93,434.65 hektar dengan kepadatan penduduk seramai 69,639 orang terdiri dari gabungan tiga mukim iaitu mukim Slim, Mukim Ulu Bernam Barat, dan Mukim Ulu Bernam Timur yang meliputi Bandar Tanjung Malim, Slim dan Proton City.

Puan Nor Sham Binti Rahman, 43, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah dilantik sebagai Pegawai Daerah Muallim.

Muallim Daerah Kesebelas Negeri Perak

Orang ramai berdiri menyambut ketibaan DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan DYMM Raja Permaisuri.

Muallim Daerah Kesebelas Negeri Perak

Di antara hadirin yang hadir di Majlis Pengisytiharan Daerah Muallim.

Muallim Daerah Kesebelas Negeri Perak

DYMM Paduka Seri Sultan Perak melawat pameran sempena Pengisytiharan Daerah Muallim.
Muallim Daerah Kesebelas Negeri Perak DYMM Paduka Seri Sultan Perak menandatangani plak pengisytiharan Daerah Muallim.
Muallim Daerah Kesebelas Negeri Perak Sesi bergambar bersama DYMM Paduka Seri Sultan Perak.

Sumber: Korporat, SUK Perak.