Top Header Manjung Content ms

Menu Manjung 3rd Level Content ms

Breadcrumb

Sinar Harian : 12 Mei 2018 : Hormati Keputusan Rakyat

SINAR HARIAN : 12 MEI 2018 : HORMATI KEPUTUSAN RAKYAT


       

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menyampaikan Watikah Pelantikan kepada Presiden Pakatan Harapan Perak Ahmad Faizal Azumu selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baharu di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, hari ini. - Foto Bernama

KUALA KANGSAR - Semua calon yang menang pada PRU14 perlu melaksanakan tanggungjawab dengan memenuhi amanah tersebut secara berintegriti.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah, rakyat telah membuat pilihan dan memberikan amanah baru di setiap kawasan pilihan raya.

Titah baginda, keputusan rakyat perlu dihormati dan dihargai oleh wakil rakyat yang dipilih dengan mengabadikan diri untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Pilihan raya telah selesai. Cabaran utama pasca pilihan raya adalah untuk kembali menyatukan warga dalam semangat biduk berlalu, kiambang bertaut.

“Jauhilah daripada sifat yang menang, menang semua; sementara yang kalah, kalah semua. Amalkan sifat yang senantiasa bersedia mendengar suara rakyat dengan minda terbuka, serta bersedia mengaku kesilapan dan bersedia membetulkan kesilapan,” titah baginda.

Baginda bertitah selepas menyempurnakan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak di Iskandariah, di sini.

Berangkat sama pada upacara itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tuanku Soraya Sultan Abdul Halim.

Sementara itu, Sultan Nazrin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua calon yang berjaya mendapatkan kepercayaan rakyat daripada semua parti bertanding.

“Pilihan raya yang telah berlangsung, memberi kemenangan kepada setiap warga, yang memperlihatkan kematangan menggunakan hak politik masing-masing, lalu membolehkan proses memilih kerajaan, proses menubuhkan kerajaan dan proses peralihan kuasa dapat dilangsungkan secara aman dan tenteram.

“Beta menzahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang telah memberikan komitmen membolehkan segala proses yang berkaitan dapat berlangsung dengan aman dan tenteram,” titah baginda.

Baginda turut bertitah agar Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dan pentadbirannya berusaha membangunkan Perak sebagai sebuah negeri yang sejahtera dan mendapat keampunan.
 



floating menu manjung content v1 ms

 

Footer ms