Sinar Online : 6 Januari 2018 : Saat Sukar Sudah Berakhir - PDT Manjung
Top Header Manjung Content ms
Menu Manjung 3rd Level Content ms
MENU UTAMA
- UTAMA
- PROFIL ORGANISASI
- WARGA JABATAN
- WARGA AWAM
- HUBUNGI KAMI
- INFORMASI PEJABAT DAERAH DAN TANAH
Breadcrumb
Sinar Online : 6 Januari 2018 : Saat Sukar Sudah Berakhir
SINAR ONLINE : 6 JANUARI 2018 : SAAT SUKAR SUDAH BERAKHIR
Chok King (kiri) ketika berjumpa keluarga berkenaan yang tinggal di pondok taman permainan.
SITIAWAN - "Saya bersyukur kerana ada pihak sudi bantu kami sekeluarga dan harap kami tak perlu lagi melalui saat-saat sukar seperti sebelum ini," demikian kata ibu kepada enam anak yang mahu dikenali sebagai Siti, 33.
Siti bersama suami serta enam anaknya sebelum ini terpaksa tinggal di dalam kereta, menumpang di masjid, menumpang di rumah kongsi warga Indonesia dan tinggal di pondok di taman permainan Kampung Merbau, Ayer Tawar, sejak Ogos tahun lalu, akibat kesempitan hidup.
Kisah kehidupan keluarga ini mula mendapat perhatian Penyelaras BN Parlimen Beruas, Pang Chok King yang segera menghulurkan bantuan dengan membawa keluarga itu tinggal menyewa di Taman Sri Mawar, Sitiawan.
Siti berkata, kisah duka dia bersama suami yang hanya mahu dikenali sebagai Wan, 31, itu bermula apabila dia mengandungkan anak keenam.
"Ketika itu kami tinggal di Seri Iskandar dan saya bekerja sebagai pembantu di kedai dobi manakala suami pula bekerja sebagai pengawal keselamatan.
"Ketika saya mengandung anak keenam ini, saya alahan teruk hingga terpaksa berhenti kerja dan suami pula dipindahkan ke Ipoh tapi terpaksa tolak kerana dia tak ada kenderaan untuk berulang-alik ke Ipoh dari Seri Iskandar.
"Akibatnya kami tak mampu bayar sewa rumah sebanyak RM450 sebulan, tambahan pula anak-anak masih bersekolah dan perlukan banyak tanggungan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Mawar.
Dia berkata, kejadian itu menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa keluar dari rumah d
an bermulalah kehidupan mereka di jalanan dengan menjadikan kereta sewa sebagai kediaman utama. Lebih menyedihkan, apabila dia terpaksa berpantang selepas bersalin anak keenam dalam kereta.
"Ketika itu kami ada juga ambil upah kutip buah kelapa sawit untuk tampung keperluan makan minum kami.
"Saya rasa sangat sedih kenangkan keadaan anak-anak ketika itu yang tak terurus, termasuklah makan minum mereka yang kurang terjaga.
"Saya juga terpaksa berpantang dalam kereta kerana baru saja lahirkan anak keenam pada 12 Disember lalu," katanya yang mempunyai anak berusia 12 tahun hingga 24 hari.
Siti berkata, dia bersyukur kerana masih ada pihak yang sudi membantu keluarganya hingga mereka mendapat tempat tinggal kembali.
"Saya sebenarnya sudah malu mahu mohon bantuan kerana sebelum ini juga saya pernah mohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan mereka berikan bantuan pembayaran deposit rumah sewa, selain anak-anak saya dapat bantuan persekolahan.
"Namun disebabkan keadaan terdesak kami terpaksa juga minta bantuan dan saya harap selepas ini kehidupan kami akan berubah jadi lebih baik.
"Saya tak mahu lagi anak-anak hidup susah dan berharap mereka boleh sambung persekolahan semula selepas ini," katanya.
Dalam pada itu, Chok King berkata, beliau menerima laporan daripada orang ramai berkenaan kisah keluarga itu yang terpaksa tinggal di pondok permainan.
"Saya segera ke lokasi yang dimaksudkan dan di situ saya melihat mereka tinggal di dalam khemah di bawah pondok dalam keadaan menyedihkan memandangkan mereka mempunyai enam anak, termasuklah bayi yang baru sahaja dilahirkan.
"Jadi saya ambil keputusan untuk bawa keluarga itu tinggal di bilik pekerja syarikat saya sebelum cari sebuah rumah sewa yang lebih sesuai.
"Saya juga mengambil bapa kepada anak-anak berkenaan untuk bekerja dengan syarikat saya bagi membantu kelangsungan hidup mereka," katanya.
Katanya, keluarga itu juga sudah ditempatkan di sebuah rumah sewa dan dia turut memanggil pihak JKM, Baitulmal dan beberapa agensi lain bagi melihat keadaan keluarga berkenaan.
"Kita telah memanggil agensi terlibat bagi melihat sendiri keadaan keluarga ini sekiranya ada saluran bantuan tertentu yang boleh dihulurkan.
"Saya sebagai penyelaras BN Parlimen Beruas cukup prihatin dengan masalah seumpama ini dan kita akan cuba membantu sedaya mungkin supaya mereka boleh menjalani kehidupan seperti orang lain," katanya.
Siti Safa Mohd Nor
Sinar Online
6 Januari 2018
floating menu manjung content v1 ms
PERKHIDMATAN
PERKHIDMATAN