Sinar Harian : 20 Februari 2018 : Wanita Pertama Pegawai Memerintah Kapal Mulakan Tugas - PDT Manjung
SINAR HARIAN : 20 FEBRUARI 2019 : WANITA PERTAMA PEGAWAI MEMERINTAH KAPAL MULAKAN TUGAS
Serah terima tugas antara Aida dengan Ahmad Sharifuddin sambil disaksikan oleh Wan Mat.
LUMUT - Bekas pegawai navigasi Kapal Maritim (KM) Arau, Leftenan Maritim Aida Arzahari memulakan tugas sebagai pegawai memerintah Kapal KM Nyalau apabila selesai majlis serah terima tugas pagi ini. Aida, 35, yang juga wanita pertama dilantik pegawai memerintah kapal mengambil alih jawatan daripada Leftenan Maritim Ahmad Sharifuddin Jamaluddin yang bertukar ke Pejabat Daerah Maritim (DM) 3 Lumut sebagai pegawai operasi.
Aida berkata, pelantikan itu diharapkan boleh menjadi inspirasi kepada wanita lain yang berkhidmat dalam pasukan beruniform.
Menurutnya, dia juga akan mengekalkan dan meningkatkan kecemerlangan KM Nyalau dalam operasi tugasan di laut. “Saya akan gunakan pengalaman bertugas di KM Arau sebagai panduan dan jantina sebenarnya bukan penghalang untuk saya memberikan yang terbaik.
“Misi saya adalah mahu meneruskan kecemerlangan dan mengekalkan prestasi terbaik KM Nyalau dalam menjalankan tugas di laut,” katanya ketika ditemui semasa majlis serah terima tugas itu di Bilik Mesyuarat Pejabat DM 3 Lumut di sini pagi tadi. Majlis itu disaksikan oleh Pengarah Maritim Daerah Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah.
Sementara itu, Wan Mat dalam ucapannya berkata, pelantikan itu membuktikan tidak ada diskriminasi tugas terhadap anggota wanita dan masing-masing boleh memberikan yang terbaik. “Saya percaya Aida mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik walaupun ada cabaran tertentu.
“Tanggungjawab di kapal sangat besar kerana melibatkan keselamatan pelayaran termasuklah nilai aset tinggi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Wan Mat turut memaklumkan sebanyak sembilan tangkapan dilakukan DM 3 Lumut untuk awal tahun ini sehingga sekarang.
“Kebanyakan tangkapan yang dibuat melibatkan bot nelayan tempatan yang menggaji warga asing.
“Pada tahun lalu sebanyak 34 kes dicatatkan dan daripada jumlah itu sebanyak 32 kes melibatkan menggaji warga asing.
“Pemilik bot mahu mengambil jalan mudah kerana alasan mereka boleh bayar gaji murah dan sebagainya,” katanya.
PERKHIDMATAN
PERKHIDMATAN