Sejarah Daerah - PDT Batu Gajah
![]() |
Tel: 05 366 1963 Faks: 05 366 5770 |
![]() |
pdtkinta[at]perak[dot]gov[dot]my |
HOME
PEJABAT DAERAH DAN TANAH KINTA, BATU GAJAH
SEJARAH DAERAH
Sejarah Batu Gajah.
“Batu Gajah Bandar Bertuah”. Bandar bertuah ini adalah tempat keputeraannya DYMM Sultan Perak, Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah iaitu seorang Sultan yang berkaliber, yang pernah menjadiKetua Hakim Negara yang ke-9. Baginda merupakan Tokoh Batu Gajah yang pertama ditonjolkan dalam buku Tokoh-Tokoh Batu Gajah, Perak. Batu Gajah telah melahirkan ramai lagi tokoh-tokoh terkemuka seperti Raja Asal, William Kellie Smith, Ho Yuk Phooi, Charles Alma Baker, Kerani Ariff, Dato’ Mustapha Albakri, Syed Shaidali dan K. Malaiperumal Pillay. Nama-nama terkenal dalam bidang agama termasuk Tuan Syed Abdul Kadir (Kadi Pertama Batu Gajah), Haji Salleh bin Lebai Awang (Ketua Imam Masjid), Haji Abdul Hamid (Guru Agama), Mohamad Nawawi (wartawan dan sarjana bahasa Arab) dan Cikgu Ali (Guru Quran dan Imam). Terdapat ramai lagi tokoh yang terkenal dalam semua bidang ketokohan seperti perlombongan, getah, pentadbiran dan pendidikan.
Perkampungan Melayu telah wujud di Batu Gajah sejak kurun ke-19 lagi. Ketika itu orang Melayu sudah giat menjalankan kegiatan perlombongan bijih timah. Terdapat ramai orang Cina menjadi pekerja di kawasan perlombongan kepunyaan orang Melayu. Bijih timahlah yang membawa kemasukan orang Cina ke Batu Gajah. Pembukaan ladang getah telah membawa masuk orang India ke sini. Jelaslah perkembangan sejarah Batu Gajah sama seperti perkembangan Sejarah Malaysia keseluruhannya. Seolah-olah Batu Gajah adalah ‘Malaysia in Maniature’.
Di Batu Gajah terdapat penduduk yang berbilang kaum iaitu Melayu (dari suku kaum seperti Mendailing, Rawa, Talu, Acheh, Jawa dan lain-lain), Cina, India, Ceylon, Punjabi, Parsi, Arab dan lain-lain. Tidak hairanlah penduduk Batu Gajah dapat memahami dan menyesuaikan diri dengan corak hidup pelbagai kaum sehingga dapat melahirkan suasana yang aman damai.
Sejak 1880-an lagi, Batu Gajah merupakan tempat pertemuan pembesar-pembesar Tanah Melayu pada masa itu. Di Batu Gajah pada masa itu ada Gelanggang Perlumbaan Kuda (Race Course). Kuda-kuda didatangi dari Pahang dan Johor untuk berlumba di sini. Ada terdapat sebuah Kelab tempat perjumpaan dan riadah bagi pegawai kerajaan dan pembesar-pembesar negeri. Dari segi ini, Batu Gajah sudah dikenali sejak 1880-an lagi. Mengikut bukti yang ada, Batu Gajah sudah wujud sekitar tahun 1870-an. Menurut diari J.W.W. Birch, Resident British Pertama di Perak, beliau pernah melawat Batu Gajah pada 30 April 1875. Beliau menyebut Batu Gajah sebagai sebuah kampung yang besar di tepi Sungai Kinta dan terdapat sebuah relau yang besar untuk melebur bijih timah.
Ini menunjukkan perkembangan awal Batu Gajah adalah berkait rapat dengan kegiatan perlombongan bijih timah yang mula berkembang di Jajahan Kinta pada masa itu.
Beberapa versi telah dilaporkan mengenai asal usul nama Batu Gajah. Mengikut versi yang pertama, apabila bijih timah mula dijumpai di Batu Gajah, ramai pedagang asing dari Sumatera datang melalui Sungai Kinta untuk berdagang timah. Mereka kebanyakannya penganut agama Buddha yang menyembah berhala. Oleh sebab tempat tersebut belum bernama, mereka telah mengukir dua batu besar di tebing Sungai Kinta menyerupai dua bentuk ekor gajah.
Kemudiannya versi kedua, pelombong-pelombong bijih timah telah menemui batu-batu sebesar gajah dan keras seperti kepala gajah. Pelombong-pelombong kemudiannya menamakan kawasan tersebut ‘Batu Gajah’ (Batu Besar).
Mengikut satu lagi versi, iaitu versi yang mungkin lebih credible, nama Batu Gajah diambil daripada nama sebuah kampung Mandailing di Medan, Indonesia. Kampung tersebut masih lagi wujud. Biar apa sekali versinya, perlu dinyatakan di sini bahawa gajah bukanlah sesuatu yang asing bagi orang Melayu. Binatang darat paling besar ini telah digunakan secara meluas bagi pengangkutan darat di negeri-negeri Melayu sehinggalah awal tahun 1910-an. Dalam Perarakan Diraja Perak, pasukan gajah yang membawa rengga (tempat duduk belakang gajah) biasanya dihias berwarna-warni diiringi oleh juak-juak (biduanda) yang berpakaian indah membawa alat-alat kebesaran dan payung Diraja. Disamping itu, gajah juga digunakan dalam kerja-kerja pembalakan dan mengangkut hasil serta alatan perlombongan di Daerah Kinta.
Sistem Pentadbiran Batu Gajah.
Batu Gajah terletak di Mukim Sungai Terap iaitu salah sebuah mukim dalam Jajahan Kinta. Pada peringkat awal, Mukim Sungai Terap merupakan Pusat Pentadbiran di bawah pegangan Dato’ Amar DiRaja iaitu Orang Besar Enam Belas di bawah kelolaan Datuk Panglima Kinta, sehinggalah campur tangan British di Perak. Apabila British campur tangan, hak wibawa Pembesar Melayu untuk mengutip cukai dan mentadbir kawasan masing-masing dimansuhkan. Peranan Dato’ Amar DiRaja sebagai pentadbir semakin kurang penting apabila Batu Gajah dijadikan Pusat Pentadbiran British di Jajahan Kinta pada tahun 1892.
Ketua Pentadbiran Jajahan Kinta ialah Tuan Pegawai Daerah atau D.O (District Officer) yang berpengalaman memandangkan Batu Gajah kaya dengan hasil buminya. Pegawai Daerah Kinta selalunya akan dilantik menjadi Resident British di negeri-negeri Melayu yang lain. Sepanjang tahun 1890-an sehingga 1900-an, pembangunan di Batu Gajah agak pesat. Pentadbiran British telah mendirikan Pejabat Daerah, Mahkamah Majestret dan Pejabat Tanah Dan Galian pada tahun 1892.
Untuk melengkapkan kemudahan pentadbiran British, pelbagai bangunan turut dibina seperti balai polis, penjara (1902) dan hospital. Kekayaan hasil bumi di Batu Gajah ketika itu telah menarik minat Mr. John Brooke Scrivenor, ahli kaji bumi pertama di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang sampai ke Malaya pada 17 September 1903. Mr. John Brooke Scrivenor berpendapat Batu Gajah mempunyai potensi yang baik, maka pusat kaji bumi yang pada mulanya terletak di Kuala Lumpur dipindahkan ke Batu Gajah pada tahun 1908. Jabatan Kerja Raya, Jabatan Ukur, Jabatan Mergastua (PERHILITAN) dan Jabatan Hutan telah diadakan. Selain itu, rumah-rumah banglo untuk kediaman Pegawai British juga disediakan. Perkembagan pentadbiran dan perlombongan bijih timah di Batu Gajah telah mendorongkan British membina jalanraya dan jalan keretapi.
Dalam tahun 1893, landasan keretapi telah dibina dari Tapah Road ke Teluk Intan dan dari Ipoh ke Batu Gajah. Dalam tahun 1894, landasan keretapi Ipoh ke Batu Gajah telah disambung dengan Kota Bahru, Perak.
PERKHIDMATAN
PERKHIDMATAN