Hakmilik Strata
![]() |
Tel : 05 209 5000 Faks : 05 243 4451 |
![]() |
webmasterptg[at]perak.gov.my |
HAKMILIK STRATA
Soalan :
Apakah yang dimaksudkan dengan hakmilik strata?
Jawapan :
Hakmilik strata ialah suatu hakmilik yang dikeluarkan untuk setiap petak di dalam bangunan yang berbilang tingkat dan juga hakmilik yang dikeluarkan kepada petak-petak tanah dalam skim komuniti berpagar.
Soalan :
Kenapa hakmilik strata diperlukan?
Jawapan :
Hakmilik strata diperlukan bagi menjamin kepentingan setiap pemilik petak dan memudahkan urusniaga terhadap petak berkenaan seperti pindahmilik, gadaian, cagaran, pembahagian pusaka dan sebagainya.
Soalan :
Siapakah yang patut memohon hakmilik strata?
Jawapan :
Pemilik tanah adalah orang yang bertanggungjawab untuk membuat permohonan untuk mendapatkan hakmilik strata.
Soalan :
Bilakah permohonan hakmilik strata patut dibuat oleh pemilik tanah?
Jawapan :
Pemilik tanah diwajibkan membuat permohonan hakmilik strata dalam tempoh yang ditetapkan JIKA beliau telah menjual mana-mana petak dalam bangunan berbilang tingkat atau tanah. Tempoh yang dimaksudkan adalah:
6 bulan dari tarikh perjanjian jualbeli pertama atau 6 bulan dari tarikh Certificate of Completion and Compliande (CCC) dikeluarkan mengikut mana yang terkemudian.
Soalan :
Jika pemilik tanah enggan membuat permohonan hakmilik strata, apakah kesannya?
Jawapan :
Jika pemilik tanah gagal membuat permohonan untuk mendapatkan hakmilik strata adalah melakukan perlanggaran Seksyen 8 (7) Akta Hakmilik Strata 1985 dan jika disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000.00 tetapi tidak lebih daripada RM100,000.00 dan didenda selanjutnya tidak kurang daripada RM100.00 tetapi tidak lebih daripada RM1,000.00 bagi setiap hari kesalahan itu terus berlaku.
Soalan :
Di mana dan bagaimanakah permohonan hakmilik strata boleh dibuat?
Jawapan :
Permohonan yang lengkap hendaklah dihantar terus kepada Bahagian Hakmilik Strata, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak dengan disertakan bayaran dan dokumen-dokumen seperti disenarai semak.
Soalan :
Siapakah yang bertanggungjawab mengawalselia pengurusan dan penyelenggaraan bangunan serta perjalanan Perbadanan Pengurusan?
Jawapan :
Pesuruhjaya Bangunan (COB) adalah merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk mengawalselia pengurusan dan penyelenggaraan bangunan serta perjalanan Perbadanan Pengurusan sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) Akta 663.
PERKHIDMATAN