Top Header Muallim Content en

p

Tel: 05 452 8014
Fax: 05 452 8085

e
HOME

MUALLIM DISTRICT AND LAND OFFICE

Menu Muallim Content enHome

Latar Belakang

DISTRICT HISTORY


 

Slim River dan Tanjong Malim merupakan dua buah bandar yang terdapat di dalam Daerah Muallim. Daerah Muallim merupakan sebuah daerah baru iaitu daerah yang ke sebelas di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Perak mulai 01 Oktober 2015. Sebelum ini Slim River dan Tanjong Malim merupakan sebahagian daripada bandar yang termasuk di dalam Pentadbiran Daerah Batang Padang.

Asal Usul nama Slim River diambil dari dua perkataan Inggeris bermaksud "Sungai Sempit". Hal ini disebabkan British telah menamakan kawasan ini dahulu berikutan keadaan sungai di kawasan ini yang sempit.

Bandar Tanjong Malim ini bermula daripada sebuah tanjung (kawasan air / tanah yang wujud daripada hakisan sungai) yang sangat luas. Kawasan ini diteroka oleh seorang Ulama' yang bernama Tuan Haji Mustafa Bin Raja Kemala. Sempena kedudukan tanjung yang sangat luas ini,Tuan List (wakil kerajaan Negeri Selat) dan Tuan List (wakil kerajaan Negeri Selat)Raja Itam telah menamakan Bandar ini dengan nama Tanjong, manakala Malim (mua'lim) adalah berkaitan dengan penduduk di kawasan Tanjong itu yang sangat rajin beribadat pada ketika itu.

Slim River merupakan bandar kedua terbesar selepas bandar Tanjong Malim yang terletak di selatan Perak, kira-kira 20km di utara Tanjong Malim dan 100km di selatan Ipoh.

Tanjong Malim adalah merupakan sebuah Bandar terletak di selatan Negeri Perak Darul Ridzuan yang bersempadan dengan Negeri Selangor Darul Ehsan dan bersempadan topografi dengan Negeri Pahang Darul Makmur. Dengan berlatar belakangkan Banjaran Titiwanngsa dan kedudukan pekannya di Pinggir Sungai Bernam menjadikan pekan Tanjong Malim sebuah pekan pintu masuk ke Negeri Perak Darul Ridzuan.

Pada peringkat awalnya, Pejabat Daerah dan Tanah ini berpusat di Tanjong Malim. Tetapi sejak peristiwa pembunuhan Tuan Codner (Pegawai Daerah) oleh komunis di Simpang Empat Tanjong Malim, pejabat ini telah dipindahkan ke Slim River.

Pengisytiharan Daerah Muallim telah dilaksanakan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak pada 11 Januari 2016.

Daerah Muallim mempunyai keluasan seluas 93,434.65 hektar yang mempunyai jumlah penduduk seramai 69,639 orang yang majoritinya adalah kaum melayu dan diikuti oleh kaum cina, india, kaum semai dan lain-lain.

Sejak dari dulu lagi bandar Tanjong Malim lebih dikenali sebagai Bandar Pendidikan. Bidang Pendidikan adalah sinonim dengan bandar ini kerana terdapatnya pusat pengajian tinggi di sini iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang pada awalnya ditubuhkan dengan nama Sultan Idris Training College (SITC) pada tahun 1922 yang berjaya melahirkan ramai cendiakawan dan golongan professional.

Daerah Muallim juga berpotensi untuk menjadi sebuah daerah yang pesat membangun di kawasan selatan Perak. Berasaskan kepada kegiatan ekonomi yang sedia ada dan perancangan industri yang telah dan akan dijalankan seperti industri automobil iaitu Kilang Proton di Bandar Proton meliputi pembangunan bersepadu perumahan, komersial dan institusi, perladangan dan perkilangan, daerah Muallim dijangka bakal menjadi sebuah daerah yang pesat membangun di selatan Perak.

Hasil pendapatan utama penduduk di daerah ini adalah hasil pertanian seperti getah, kelapa sawit, buah-buahan dan sayur-sayuran. Dengan adanya Rancangan Penempatan Felda dan Felcra maka dapat menjana serta meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup kepada para peserta terutama bagi penduduk luar bandar. Disamping itu, penduduk setempat juga terlibat dengan aktiviti-aktiviti perniagaan. Selari dengan misi kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang aktif dan progresif dalam aktiviti perniagaan.

Bandar Slim River merupakan pusat pentadbiran Daerah Muallim yang bertempat di Pejabat Daerah dan Tanah Muallim berdekatan dengan Mahkamah dan Hospital di Slim River.

Selain itu, Muallim juga mempunyai keindahan dan keistimewaan yang tersendiri. Dengan keindahan kawasan rekreasi iaitu Sungai Bil, Tasik YDP, Air Panas Ulu Slim, Tasik Embayu pastinya mampu menarik orang ramai untuk berkunjung ke Muallim sebagai tempat untuk beriadah dan bersantai.

Dari masa ke semasa, terdapat banyak pembangunan dan kemajuan yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk memberi keselesaan dan kemudahan kepada penduduk di Muallim. Pihak Pejabat Daerah dan Tanah Muallim dan juga agensi kerajaan yang lain akan sentiasa berusaha untuk membangunkan Bandar Slim River dan Tanjong Malim supaya sentiasa maju mengikut peredaran masa serta berwajah bersih, ceria dan mesra.

 

floating menu muallim content v1 en

 

Footer en