Top Header Manjung Content en

Menu Manjung 3rd Level Content en

Breadcrumb

Sinar Harian : 8 Mei 2018 : Mengundi Satu Kesaksian: Mufti

SINAR HARIAN : 8 MEI 2018 : MENGUNDI SATU KESAKSIAN: MUFTI


       

Dr Harussani

IPOH – Tindakan tidak mengundi atau berniat untuk merosakkan undi merupakan satu perbuatan mensia-siakan hak diberi yang tidak membawa sebarang keuntungan kepada Islam.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, umat Islam tidak boleh mengasingkan diri dari sistem mengundi sama ada secara suka atau tidak.

“Mengundi bukan sekadar aktiviti untuk memenuhi tuntutan demokrasi yang dilakukan sekali dalam lima tahun, tetapi ia satu kesaksian yang penuh dengan beban kebertanggungjawaban di dunia dan akhirat.

“Kesaksian itu tidak boleh disembunyikan dengan tidak mengundi mahupun mengundi rosak. Justeru warga yang layak adalah wajib mengundi atas dasar memberikan kesaksian,” katanya dalam satu perutusan sempena PRU14.

Dianggarkan hampir 15 juta rakyat Malaysia yang layak akan melaksanakan kewajiban dan tanggungjawab mengundi, esok.

Harussani berkata, majoriti ulama meletakkan hukum mengundi sebagai kesaksian iaitu memberikan saksi bahawa calon diundi adalah layak memegang tanggungjawab sebagai pemerintah.

Katanya, pendapat sama digunakan oleh al-Imam al-Syahid Hassan al-Banna, Kesatuan Ulama Sedunia yang dipengerusikan Dr Yusuf al-Qardhawi, Syeikhul Azhar Syeikh Ahmad Tayyib dan Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaah.

“Mengundi adalah satu tuntutan memenuhi hak demokrasi negara dan pilihan raya mekanisme yang dijalankan, kewajiban mengundi satu tuntutan dalam agama Islam yang pastinya disoal ALLAH di akhirat kelak,” katanya.

Beliau turut menekankan, kepentingan Islam perlu diletakkan sebagai perkara paling utama dalam memilih calon pemimpin.

Menurutnya, Islam menitikberatkan pemimpin berkualiti mengikuti piawai Islam dan yang berwibawa kerana memegang amanah rakyat untuk mentadbir negara.

Pemimpin berwibawa dimaksudkan adalah pemimpin yang membantu memenangkan agama ALLAH iaitu dengan menjalankan tugas mendaulatkan Islam, mempertahankan maruah umat, meninggikan syiar Islam, menjaga agama, berusaha melaksanakan kesyumulan syariat ALLAH serta melaksanakan dakwah dan jihad.

Pemimpin ini juga yang mengangkat Islam sebagai agenda utama, berintegriti, cekap, mahir mengurus, bebas dari pengaruh asing dan berusaha bersungguh memastikan tanah air ini dengan menjadikan Islam sebagai rujukan utama.

“Pilihan raya inilah medium bagi rakyat memilih sendiri pemimpin yang mereka kehendaki, libatkanlah diri dengan proses besar dan penting ini.

“Jika kita tidak memilih calon yang baik, maka calon yang tidak baiklah yang akan memimpin kita untuk lima tahun mendatang, buatlah pilihan yang terbaik,” katanya.
 



floating menu manjung content v1 en

 

Footer en