Top Header Manjung Content en

Menu Manjung 3rd Level Content en

Breadcrumb

Sinar Harian : 25 Januari 2018 : Masyarakat Jangan Mudah Terpedaya Dengan Macau Scam

SINAR HARIAN : 25 JANUARI 2018 : MASYARAKAT JANGAN MUDAH TERPEDAYA DENGAN MACAU SCAM


       

Muhammad Hanif Othman

SERI MANJUNG - Kes penipuan melibatkan panggilan telefon atau macau scam semakin membimbangkan di daerah Manjung apabila mencatatkan sebanyak empat kes bermula awal Januari hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu helah pemanggil telefon yang mendakwa daripada pihak berkaitan yang mahu menuntut wang.

Menurutnya, mereka yang menerima panggilan seumpama itu sepatutnya membuat pemeriksaan terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan dakwaan pemanggil berkenaan.

"Dalam tempoh awal Januari hingga hari ini sahaja kita sudah ada empat kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM114,240.

"Ini menunjukkan masyarakat kita mudah terpengaruh walau dengan hanya panggilan telefon sahaja,"katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya, mangsa yang terlibat dalam kes macau scam ini juga tidak mengira umur dan bangsa.

"Mangsa tidak kira umur,bangsa serta latar belakang pendidikan kerana sesiapa sahaja boleh tertipu.

"Jadi saya mahu ingatkan agar masyarakat lebih peka dalam hal ini dan jangan mudah terpedaya begitu sahaja," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Hanif turut mengingatkan masyarakat supaya tidak tertipu dengan pembelian atas talian.

"Dalam pembelian atas talisn juga masih ramai yang tertipu apabila sebanyak lima kes dicatatkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM52,060 bagi tempoh awal tahun hingga hari ini.

"Kebanyakkannya pembelian ini melibatkan telefon bimbit dan juga barangan elektronik,"katanya.

Katanya, masyarakat harus meletakkan rada curiga sebelum membuat sesuatu pembelian atas talian.

"Jangan cepat terpedaya dengan tawaran harga murah yang diberikan.

"Letakkan rasa curiga supaya kita tidak mudah tertipu," katanya.
 



floating menu manjung content v1 en

 

Footer en