Perak Today : 4 Februari 2019 : Perak Rangka Jalan Penyelesaian Atasi Masalah Lambakan Rumah Bumiputera Tidak Terjual - PDT Manjung
Top Header Manjung Content en
Menu Manjung 3rd Level Content en
MENU UTAMA
Breadcrumb
Perak Today : 4 Februari 2019 : Perak Rangka Jalan Penyelesaian Atasi Masalah Lambakan Rumah Bumiputera Tidak Terjual
PERAK TODAY:4 FEBRUARI 2019: PERAK RANGKA JALAN PENYELESAIAN ATASI MASALAH LAMBAKAN RUMAH BUMIPUTERA TIDAK TERJUAL
PARIT: Kerajaan Perak kini sedang merangka beberapa mekanisme yang sesuai bagi menyelesaikan isu lambakan rumah dan hartanah berstatus kuota bumiputera yang tidak terjual.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, antara cadangannya ialah dengan memberi peluang kepada para pemaju untuk membeli kuota tersebut kepada kerajaan negeri.
Jelasnya, hasil pembelian kuota bumiputera itu pula ia akan disalurkan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) supaya agensi tersebut dapat membina rumah mesra milik, Rumah Perakku di kawasan lain.
“Katakanlah 20 peratus daripada sesebuah pembangunan itu diperuntukkan kepada bumiputera. Jadi, pemaju boleh beli kuota tersebut dan ia pula boleh letakkan kepada kos pembangunannya semula.
“Hasil duit itu kita boleh masukkan kepada LPHP dan LPHP serta kerajaan negeri dapat sediakan kawasan perumahan untuk kita dirikan rumah-rumah Perakku untuk rakyat.
“Ini pandangan saya, jika kita benar-benar kita mahu membatu golongan bumiputera yang mana ianya menerusi satu polisi yang boleh dibuat secara serius. Ini satu keputusan yang agak berani,” katanya.
Katanya lagi, antara faktor yang memungkinkan masalah lambakan rumah berstatus kuota bumiputera yang tidak terjual ini ialah ianya berhubung kait dengan faktor lokasi dan keadaan persekitaran.
Mengambil contoh di kawasan Bercham, jelasnya, walaupun terdapat sejumlah kuota untuk bumiputera namun jumlah golongan tersebut dalam untuk memiliki rumah dan hartanah di kawasan itu masih lagi rendah.
Dalam pada itu, ujar Ahmad Faizal, dengan inisiatif tersebut, selain dapat terus membela dan golongan bumiputera dalam mendapatkan aset hartanah ia juga dilihat mampu mengelakkan pemaju-pemaju perumahan daripada menganggung kerugian ekoran masalah itu.
“Apabila golongan bumiputera tidak berminat untuk membeli, pemaju terpaksa menunggu dua tahun bagi mereka melepasi status kuota bumiputera.
“Kemudian, mereka pula harus melalui beberapa proses seperti mengiklankan ia di media massa. Selepas dua tahun rumah tak terjual, rumah itu akan rosak, pemaju akan marah dan orang pula tidak dapat rumah.
“Justeru, kita harus memikirkan cara penyelesaian terhadap masalah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media Majlis Perasmian Pembangunan Bersepadu Lestari Iskandar University Square (IUS) Seri Iskandar, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Tean Keris Berhad (TKB), Datuk Lee Seng Hee.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri menyambut baik keputusan pemaju yang menyasarkan pemilikan hartanah bagi golongan bumiputera sebanyak 80 peratus, melebihi syarat 50 peratus yang ditetapkan di kawasan tersebut.
Terletak bersebelahan dengan Universiti Teknologi Petronas, sebanyak 600 unit rumah sedang dibina di atas tanah seluas 52 ekar oleh TKB.
Antara tiga unit rumah yang dijual ialah Rumah Safya (rumah teres 1 tingkat), Rumah Nadya (rumah teres 1 setengah tingkat) serta Rumah Damia (rumah teres dua tingat) dan ianya dijual dengan harga bermula RM 210,00 hingga RM250,00 ke atas.