Top Header Manjung Content en

Menu Manjung 3rd Level Content en

Breadcrumb

Berita Harian : 22 Mei 2019 : Suasana Sayu Selubungi Balairung Seri Istana Abu Bakar

 

BERITA HARIAN: 22 MEI 2019: SUASANA SAYU SELUBUNGI BALAIRUNG SERI ISTANA ABU BAKAR


 

       

SUASANA Balairung Seri dimana terletaknya Jenazah Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah di Istana Abu Bakar Pekan- Foto BERNAMA

 

PEKAN: Suasana sayu dan suram menyelubungi Istana Abu Bakar di sini, malam ini apabila jenazah Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dibawa masuk ke persada yang terletak di tengah Balairung Seri.

Jenazah Almarhum dibawa masuk pada jam 9.20 malam oleh pasukan Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan diikuti 18 jejawat.

Turut berada di Balairung Seri ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; anakanda Almarhum, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman dan Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Shah serta bonda baginda, Sultanah Kalsom.

 

       

RAJA Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama Sultanah Hajah Kalsom ketika melihat Jenazah Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah selepas dibawa masuk ke dalam Balairung Seri setibanya di Istana Abu Bakar Pekan. Turut berangkat Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah. - Foto BERNAMA

 

       

JENAZAH Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah disembahyangkan di persada Balairung Seri Istana Abu Bakar oleh kerabat DiRaja dan para jemaah. - Foto BERNAMA

 

Kira-kira 200 orang terdiri daripada kaum kerabat, orang kenamaan dan pembesar negeri Pahang kemudiannya menunaikan solat jenazah yang diimamkan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman di Balairung Seri.

Rakyat jelata mula kelihatan memasuki Balairung Seri bermula jam 10.30 malam ini, untuk menziarahi dan memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah yang merupakan Sultan Pahang kelima.

Mereka yang datang secara berkumpulan dilihat mengambil giliran untuk masuk ke dalam Balairung Seri dan rakyat beragama Islam melakukan solat jenazah dalam kumpulan kecil dan berdoa.

Ayat suci al-Quran dibacakan oleh kira-kira 100 pelajar tahfiz dari sekitar Kuantan dan Pekan.

Almarhum Sultan Ahmad Shah mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada 8.50 pagi tadi.

Jenazah Almarhum tiba di Pangkalan Udara Kuantan pada 7.25 petang dengan menaiki pesawat khas sebelum dibawa ke Istana Abu Bakar dengan diiringi oleh tujuh buah motosikal PDRM.

Tunku Azizah turut mengiringi perjalanan jenazah dari Istana Negara ke Istana Abu Bakar. - BERNAMA

 



Footer en