Panduan Membayar Cukai Tanah



Panduan Membayar Cukai Tanah

Penerangan ringkas

Cukai tanah ialah bayaran yang dikenakan setiap tahun sebagai cukai ke atas tanah yang diberimilik (Geran). Membayar cukai tanah adalah tanggungjawab pemilik tanah. Cukai tanah hendaklah dibayar mulai 1 Januari hingga 31 Mei tahun semasa. Jika cukai tanah yang tidak dibayar mulai 1 Jun akan menjadi tunggakan dan dikenakan denda lewat.

 

Tempat bayaran cukai tanah
Bayaran boleh dibuat di kaunter Hasil Pejabat-Pejabat Tanah dimana tanah tersebut terletak atau di mana-mana tempat kutipan luar yang ditetapkan oleh Pejabat Tanah berkaitan.

 

Cara bayaran

Bayaran boleh dibuat secara tunai, melalui cek / bank deraf / kiriman wang / wang pos atas nama Bendahari Negeri Perak. (Arahan berkuatkuasa mulai 16 Jun 2014)

Kad Kredit ViSA dan MASTERCARD diterima hanya di kaunter pembayaran manakala;
Kad Debit
ViSA dan MASTERCARD boleh digunakan untuk pembayaran secara online.

Bayaran melalui perbankan online seperti;

  • FPX
  • Maybank
  • RHB Bank
  • CIMB

Bayaran juga boleh dibuat melalui pos mengikut kaedah-kaedah yang ditetapkan oleh Kerajaan dari masa ke semasa.

 

Bil cukai tanah
Penghantaran Bil cukai tanah kepada pemilik tanah adalah untuk memberi kemudahan dan peringatan sahaja. Walau bagaimanapun pemilik tanah yang tidak menerima bil cukai tanah boleh mendapatkannya di Bahagian Hasil Pejabat Tanah yang berkenaan dengan mengemukakan butir-butir berikut:-
  • Nombor Hakmilik
  • Nombor Lot/PT
  • Mukim/Bandar/Pekan


Semasa Pembayaran

Sediakan wang secukupnya.

 

Selepas Pembayaran
Perlu menyemak beberapa perkara berikut :
  • Pastikan ada cetakan berkomputer di atas resit.
  • Pastikan amaun yang dibayar sama dengan amaun yang tercatat di atas resit bayaran
  • Catatan berkomputer di atas resit sama dengan maklumat di atas bil cukai tanah.


Pembayaran tunggakan cukai tanah

Pemilik tanah yang mempunyai tunggakan cukai tanah boleh memohon kepada Pentadbir Tanah untuk membayar secara ansuran.

Bayaran ansuran hendaklah dijelaskan sepenuhnya dalam tahun semasa mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Kegagalan mematuhi jadual bayaran yang ditetapkan boleh menyebabkan tindakan perampasan diambil.

 

Tindakan jika gagal membayar cukai tanah

Pemilik tanah yang tidak membayar tunggakan cukai tanah akan diberi peringatan untuk tempoh tertentu yang ditetapkan melalui surat pentadbiran. Jika masih engkar, Pentadbir Tanah boleh menyampaikan Notis 6A dan diberi tempoh 3 bulan untuk menjelaskan tunggakan cukai tanah.

Jika pemilik tanah masih engkar menjelaskan tunggakan cukai tanah pada akhir tempoh tiga bulan seperti yang dinyatakan di dalam Notis 6A, Pentadbir Tanah boleh mengisytiharkan dengan perintah, tanah itu dirampas dan menjadi hak Kerajaan Negeri.

 

Seksyen 97 & 100 KTN