Perutusan Pengarah


borderats

  tuan rumaizi  
 
YBRS. TUAN RUMAIZI BIN BAHARIN @ MD. DAUD, A.M.P., P.P.T.
Pengarah Tanah dan Galian
Perak Darul Ridzuan.
 


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Saya ingin merakamkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada semua pengunjung kerana sudi melayari Portal Rasmi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) , Perak. Sejajar dengan perkembangan semasa yang menekankan kepada penggunaan ICT dalam urusan seharian, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) komited bagi menyediakan Portal yang mesra pengguna dalam penyampaian perkhidmatannya. PTG menyedari bahawa pelanggan bukan sahaja berkehendakkan penyampaian perkhidmatan yang efisien tetapi juga cepat, tepat dan mudah dicapai pada bila-bila masa dari mana-mana jua. Oleh itu portal ini dibina bertujuan untuk memberikan maklumat yang komprehensif dan terkini mengenai struktur PTG, Perak yang merangkumi visi, misi dan objektif jabatan, struktur organisasi, perkhidmatan yang disediakan dan paparan aktiviti warga PTG, Perak supaya ianya dapat dimanfaatkan oleh pengguna secara langsung.

Sebagai salah satu agensi barisan hadapan utama kerajaan negeri, PTG Perak berperanan dan bertanggungjawab menerajui penambahbaikan urusan pentadbiran tanah di seluruh negeri Perak. Usaha-usaha yang telah diambil untuk merealisasikan aspek ini meliputi penyediaan Rangka Pelan Strategik PTG 2016 – 2020, penetapan Petunjuk Prestasi Utama Tahunan (KPI), perlaksanaan program Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA),  persijilan MS ISO 9000: 2008, Penarafan 5 bintang bagi Indeks Akauntibiliti, penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi membantu penyelesaian tunggakan urusan tanah; Industry Players Outreach, program Pindahmilik Tanah (PMT) 1 Hari, pengeluaran Pekeliling serta Garispanduan - garispanduan berkaitan urusan tanah, Dasar Keselamatan ICT Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak (DKICT PTGPk); dan memperluaskan perkhidmatan berteraskan ICT secara atas talian dalam pentadbiran dan pengurusan tanah di seluruh pentadbiran tanah Negeri Perak.

Selaras dengan   hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, saya amat mengalu-alukan sebarang pandangan, cadangan dan kritikan yang membina daripada semua pelanggan dan pengunjung laman web ini. Dunia ICT sentiasa berubah dengan pantas dan tiada had sempadan.Usaha ini boleh dilakukan melalui peti-peti cadangan, e-aduan, kajian kepuasan pelanggan secara harian melalui kaunter-kaunter perkhidmatan bahagian dan kajian kepuasan pelanggan secara online setiap 6 bulan serta boleh juga menulis surat secara terus kepada pihak pengurusan. Melalui cara ini diharapkan idea-idea baru bagi meningkatkan mutu perkhidmatan secara berterusan dapat dicernakan. Portal PTG Perak ini telah diwujudkan bagi memenuhi keperluan pelanggan dan stakeholders yang terdiri daripada agensi kerajaan, agensi swasta dan rakyat meliputi warganegara dan bukan warganegara. Semoga ia dapat memberikan manfaat kepada golongan sasar ini dan memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan PTG Perak.

Harapan saya seluruh warga PTG Perak khususnya dan pentadbiran tanah Negeri Perak keseluruhannya dapat menggembeling tenaga dan usaha, meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran, bersatu dan komited dalam melaksanakan amanah selaras dengan motto jabatan iaitu Cekap, Telus dan Berintegriti (CTB) kearah mencapai wawasan yang telah digariskan didalam Rangka Pelan Strategik PTG 2010 - 2015. Marilah kita sama-sama istiqamah untuk sentiasa melakukan transformasi perkhidmatan dan berusaha mencapai budaya kerja bertaraf dunia supaya kita terus kekal relevan dalam menangani persekitaran dan persaingan yang sengit dan pantas berubah.

Justeru, penerbitan portal ini adalah untuk memaparkan dan mendedahkan maklumat semasa berkaitan dengan pentadbiran tanah agar ia dapat menjadi sebahagian sumber maklumat serta sebagai bahan rujukan penting yang boleh dikongsi bersama dan dapat memberi input yang berguna kepada semua pelayar portal ini.

Selaku Pengarah Pejabat Tanah dan Galian, saya mengucapkan “Selamat Datang Ke Portal Rasmi Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak”.

Sekian, salam hormat.

 

RUMAIZI BIN BAHARIN @ MD. DAUD
Pengarah Tanah dan Galian.
Perak Darul Ridzuan.

 

borderats